Bismillah wal hamdulillah...
Sudah lama rasanya saya beli buku "ANAKKU HEBAT ANAKKU SOLEH" karangan pendakwah tersohor tanah air iaitu Ustaz Zahazan Mohamed. Saya sangat kagum dan suka dengan pendekatan yang dilakukan oleh ustaz sebab tuh saya nak kongsi dengan pembaca blog saya tentang sedikit ilmu yang disampaikan oleh ustaz. Semoga bermanfaat.
Sistem ISLAM tidak pernah memisahkan antara matlamat dan cara. Matlamat yang agung memerlukan matlamat yang baik. Demikian juga dengan pendidikan awal anak-anak yang bermatlamatkan ke arah melahirkan seorang anak yang baik dan soleh. Sudah semestinya perlu mengikut cara, teknik dan jalan yang telah digariskan oleh Islam
1- Menunjukkan contoh taulada yang baik
Kita sering mendengar ungkapan 'kepimpinan melalui tauladan'. Ungkapan ini menjelaskan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh contoh tauladan orang yang memimpin kepada orang yang dipimpin termasuklah ibu ayah dan anak-anak. Keluarga yang ingin anak-anak berakhlak mulia, perlu mempraktikkan akhlak yang mulia. Begitu juga sebaliknya.
Sirah: Ibu bapa perlu bersikap mulia
Daripada Abdullah bin 'Amir r.a berkata: "Rasulullah SAW pernah datang ke rumah kami dan aku pada masa itu masih kecil. Ketika aku pergi bermain tiba-tiba ibu memanggilku: 'Mari sini aku ingin memberikan engkau sesuatu'. Maka Rasulullah SAW pun bertanya: 'Apa yang nak kau berikan kepadanya?'. Ibu berkata: 'Tamar'. Sabda Rasulullah SAW: 'Kalau engkau tidak memberinya nescaya ditulis bagimu satu dosa menipu"
Tidak dapat dinafikan rumah merupakan pendidikan pertama yang diterima anak-anak kerana rumah adalah tempat di mana anak-anak dibesarkan dan dididik. Akhlak yang dilihat setiap hari oleh anak-anak secara tidak langsung membentuk pekerti dan akhlak anak-anak juga. Dengan sebab itu ibu bapa dinasihatkan untuk menjadi model yang baik yang akan dituruti oleh anak-anak. Elakkan perbuatan dan perilaku yang negatif seperti bengis, buruk laku, berkata-kata dengan kata-kata kesat dan kotor dan sebagainya.
2- Merangsang (taghrib) & menakut-nakutkan (tarhib)
Cendekiawan-cendekiawan ilmu tarbiah bersepakat bahawa rangsangan dan galakkan serta memberi ganjaran adalah perkara penting dalam pendidikan apabila anak-anak melakukan perkara yang baik.
Ibu bapa dan para pendidik seharusnya melihat perspektif memberi ganjaran ini dengan lebih luas. Ia tidak terhad hanya dengan memberi hadiah semata-mata ia termasuklah dengan memberi kata-kata pujian, kata-kata semangat, membawa anak-anak bersiar-siar dan sebagainya bergantung kepada keadaan. Ia bertujuan untuk terus memberi galakkan dan dorongan kepada anak-anak untuk terus berkelakuan positif.
Dengan ganjaran yang diperolehi anak-anak ini akan terus bersemangat untuk berkelakuan baik atas sebab ganjaran dan sokongan yang mereka perolehi.
Al-Imam Al-Ghazali berkata dalam Ihya' Ulumuddin:
"Semua perkara baik yang ditunjukkan oleh anak perlu dipuji dan dianugerahkan dengan balasan yang baik di hadapan khalayak ramai. Jika anak itu membuat perkara sebaliknya (buruk) maka hendaklah dilupakan oleh ibu bapa (seolah-olah mereka tidak mengetahui). Janganlah mereka membuka aib si anak lebih-lebih lagi jika dia cuba menyembunyikannya kerana yang demikian menjadikan anak tadi tidak membuang keburukannya itu"
Hukuman juga perlu dibuat untuk mengatasi perkara sebaliknya dari terus berlaku dan perkara ini diakui oleh cendekiawan cendekiawan ilmu psikologi. Dengan kombinasi dua cara ini anak-anak dilatih untuk berfikir: Membuat baik balasannya baik, membuat jahat balasannya hukuman.
Islam mengharuskan penggunaan hukuman atas perkara jahat yang dilakukan dengan syarat biarlah ia bersebab. Selain itu hendaklah hukuman yang dikenakan itu berpatutan dan tidak berlebihan.
Di dalam hadith ada diceritakan seorang sahabat memukul hambanya kemudian dia terdengar suara Rasulullah SAW bersabd:
"Ketahuilah wahai Ab. Mas'ud (pemukul) pukullah dengan cara yang berpatutan (jangan berlebih-lebuhan)." Apabila terdengar sahaja seruan Nabi, sahabat yang memukul tadi berkata: "Dia aku bebaskan kerana ALLAH." Nabi bersabda: "Jika engkau tidak melakukan begitu nescaya engkau akan dibakar api neraka"
Al-Qobsi berkata:
Alangkah baiknya kalau para pendidik menjadi 'ayah' pada anak-anak didiknya. Janganlah pendidik tadi selalu bermasam muka pada anak-anaknya kerana perbuatan itu adalah dibenci, menyebabkan anak-anak menjadi kurang ajar kepadanya. Hendaklah dia menasihati mereka. Jika tidak berjaya, bolehlah memukul mereka dengan pukulan yang menyakitkan tetapi tidak melebihi hadnya dan janganlah pukulan itu terlalu perlahan. Adalah tidak patut seseorang pendidik itu mewakilkan seorang murid untuk memukul rakannya kerana perkara itu menyebabkan timbulnya rasa benci sesama mereka. Muka dan kepala hendaklah dielakkan semasa memukul.
Mungkin pada sesetengah keadaan memaafkan boleh dilakukan sebagai ganti pada hukuman pukul. Perlulah pada waktu itu pendidik memaafkan anak tadi tanpa memukulnya
3- Mencontohi dan mengikuti (taqlid)
Taqlid adalah nilai-nilai baik ialah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa yang diterima oleh akal dan yang diyakini olehnya tetapi dia tidak dapat memberi dalil atas apa yang dibuatnya. Anak mendengar ayahnya menyebut perkataan 'Alhamdulillah' lalu dia akan mengikuti ayahnya kerana dia percaya pada ayahnya da apa yang disebut oleh ayahnya walaupun dia tidak mampu memberi dalil atas apa yang disebutnya, Mereka juga akan mencontohi ibu ayah dalam solat, cara bercakap, cara makan dan sebagainya
Ibn Khaldun berkata:
"Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar"
(Al-muqaddimah)
4- Memberi pengajaran (nasihat)
Al-quran menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan menggunakan percakapan yang menunjukkan kasih sayang. Inilah yang kita lihat diucapkah oleh nabi-nabi alaihissalam kepada anak-anak mereka walaupun anak-anak mereka kadangkalanya derhaka dan tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayah mereka.
Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang bermaksud:
Satu hari aku berada di belakang Nabi, lalu Nabi bersabda: "Wahai anak! Aku mengajarmu beberapa perkataan: Jagalah ALLAH, nescaya DIA akan menjagamu. Jagalah DIA, kamu akan mendapatiNYA dihadapanMU. Apabila kamu meminta, mintalah ALLAH. Apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan daripadaNYA. Ketahuilah sekiranya ummah berkumpul untuk memberi manfaat padamu mereka tidak mampu berbuat begitu tanpa izin ALLAH dan jika mereka berhimpun untuk memudaratkanmu nescaya mereka tidak akan mampu berbuat begitu tanpa izin ALLAH"
Perlulah bagi pendidik menyertakan bersama nasihat-nasihatnya, harapan yang tinggi, menakut-nakut dengan hukuman, memuji dan sebagainya kerana tanpa perkara ini hilanglah nilai nasihat itu.
Pertimbangan antara penggunaan NASIHAT dan ROTAN akan melengkapkan cara mentarbiah.
5- Bercerita
Cara bercerita juga mungkin boleh dilaksanakan dalam tarbiah untuk menanam sifat-sifat baik dalam diri anak. Dengan cara bercerita anak-anak akan belajar berfikir dan menyelesaikan masalah. Cukuplah contohi Al-Quran kerana di dalam al-quran telah banyak menceritakan pada kita tentang peristiwa-peristiwa yang telah dan akan berlaku untuk diambil iktibar oleh kita supaya kita mengikut jalan yang benar.
ALLAH SWT berfirman dalam al-quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka itu ada pengajaran" (Surah Yusuf: 111)
Cara bercerita ini dapat dilaksanakan dengan cerita-cerita yang terkandung dalam al-quran beserta dengan pengajaran daripada kisah tersebut. Boleh disertakan juga nasihata tauladan daripada kisah yang dipaparkan oleh al-quran kepada ummat manusia seluruhnya.
6 - Membuat perumpamaan
Antara cara-cara pendidikan yang berjaya ialalh dengan membuat perumpamaan dalam percakapan dengan anak-anak dalam mendidiknya. Tidak ada syak cara ini juga ada digunakan oleh al-quran dengan begitu banyak sekali.
Sirah: Nabi SAW mendidik para sahabat dengan perumpamaan
Hadith yang dibawakan oleh al-imam ahmad dan al-baihaqi dalam Syu'ab Iman (Bab iman) daripada hadis Abi Umamah r.a: "Telah datang seorang pemuda kepada Nabi lalu berkata: 'Wahai Rasulullah SAW izinkanlah bagiku untuk berzina. Orang yang ada di sekeliling cuba untuk menghalaunya dan mereka berkata: Diam. Nabi memanggilnya: Mari dekatku. Maka dia pun datanglah dekat. Nabi berkata duduk, maka duduklah dia. Nabi bertanya: 'Adakah kamu suka perbuatan zina itu dilakukan oleh ibumu?'. Dia menjawab: 'Tidak'. Demi ALLAH, semoga ALLAH menebuskan dirimu denganku. Dia berkata lagi: 'Tiada siapa pun yang hendak perbuatan itu berlaku pada ibu mereka.'
Demikianlah Nabi bertanya tentang anak perempuannya, saudara perempuannya, emak saudaranya, bapa saudaranya dan lelaki itu menjawab dengan jawapan sebelumnya. Kemudia Nabi pun bersabda sambil meletakkan tanganya pada dada pemuda itu: ' YA ALLAH ampunkanlah dosanya dan bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya daripada zina'. Selepas itu pemuda itu tidak lagi ingin memperlakukan perkara-perakara sumbang.
0 sweet persons:
Post a Comment
Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan serta cik2 :D