2.11.15

Soalnya rezeki dan ujian... yakinlah dengan janji ALLAH SWT...

Bismillah wal hamdulillah... 

Hari ini saya terasa nak berkongsi sesuatu yang membuatkan saya insaf betapa besar dan luasnya kasih sayang dan rahmat dari Yang Maha Esa... Siapalah kita yang sentiasa nak merungut, nak mempersoalkan ketetapan dan ketentuan dariNYA itu? Mungkin kerana kita terlalu mendongak ke atas, berjalan mendongak ke langit, tanpa kita terasa untuk melihat ke bawah, melihat di mana kaki kita berpijak, merenung dari mana asal usul kita... 

YA ALLAH, ampunkan hambaMU ini kerana kurang rasa syukur ku, kerana kurang rasa berterima kasihku kepada nikmat-nikmatMU yang tidak terhitung banyaknya... maafkan hambaMU yang hina ini kerana terlalu banyak berkeluh-kesah di atas ujian yang KAU hadirkan kerana KAU ingin aku sentiasa mendekatiMU... Maafkan hambaMU ini TUHAN... Maafkan segala khilaf dan dosaku... Janganlah KAU melupakan aku kerana dosa-dosa dan khilafku ini :(

Pekerjaan

Masa saya 'terpaksa' berhenti kerja lebih kurang 3tahun lalu, saya sering kali juga merasa "kenapalah aku yang kena hadapi semua ini?aku ni bukanlah orang berduit sangat?" Lebih kurang gitu lah keluh-kesahku suatu ketika dulu (kadang-kadang masih lagi keluh-kesah.. manusia ni perlu sentiasa diperingatkan sebab dia sentiasa terlupa).

Tapi alhamdulillah banyak hikmah yang saya nampak dan faham daripada 'keterpaksaan' saya 3tahun lalu. Mungkin ini yang terbaik. Sekurang-kurangnya saya dapat buat yang terbaik untuk anak-anak daripada saya 'gamble' nasib anak-anak kepada orang yang tidak saya kenali. Sekurang-kurangnya saya dapat tengok perkembangan anak-anak yang makin membesar. Saat-saat dimana seorang ibu dan ayah perlu memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak. Mungkin sekiranya saya berkerja saya tak dapat jalankan tanggungjawab itu sebaik sekarang (walaupun tidak sempurna tetapi insya allah saya ada peluang untuk menjadi yang terbaik)

Oklah malas nak fikir sangat kenapa aku tidak bernasib baik dalam bidang kerjaya walaupun ada ijazah? Kenapa orang yang ada kelulusan SPM sahaja diberikan rezeki dan peluang mendapat pekerjaan idaman? Siapa saya nak persoalkan... Mungkin itu bahagian dia, dan saya tidak seharusnya mengidamkan sesuatu yang bukan milik saya. 

Anak

Saya kasihan melihat sesetengah pasangan suami isteri diberikan ALLAH SWT rezeki pekerjaan yang baik, gaji yang banyak, perniagaan yang maju tetapi mereka tiada rezeki anak. Kadang-kadang kelihatan kehidupan mereka kosong, dimana duit gaji dan perniagaan perlu diperuntukkan? Sekiranya ada anak-anak? 

Begitulah Maha Adil ALLAH SWT mempercaturkan sesuautu ketentuan itu pasti ada hikmah tersembunyi. Saya mungkin miskin kerja tapi saya ada anugerah anak-anak yang tidak ternilai ini. Yang sentiasa ada untuk mengisi ruang hidup saya. Tanpa anak-anak saya tak tahu bagaimana saya perlu teruskan kehidupan saya ini. Tiada kerja saya boleh hidup seperti biasa tapi tanpa anak? Tak dapat saya nak bayangkan... 

Kesenangan duniawi

Kesenangan duniawi ni sering menipu daya manusia. Semua orang berlumba-lumba mendapatkan kesenangan dunia... Rumah, kereta yang mewah tanpa berlumba-lumba menambah amalan ke sana nanti. Saya bersyukur dengan apa yang ada... Walaupun tidak semewah orang lain... masih belum berpeluang melancong ke luar negara, belum berpeluang memiliki kereta mewah (cuma seketol persona dah lebih dari cukup), belum diberikan kesempatan memiliki rumah peribadi tetapi ALLAH SWT anugerah kami sekeluarga kesenangan dari sudut kesihatan, tiada hutang piutang yang membebankan (dah bebas hutang PTPTN cuma tinggal hutang kereta lagi 4tahun) ALLAH SWT melunaskan satu per satu untuk kami tanpa kami perlu fikir pening tunggang terbalik mengenai hutang. ALHAMDULILLAH ya allah tersangat luas rezeki dan kasih sayangMU...

Ada sesetengah orang diuji dengan keadaan kesihatan anak-anak walaupun sudah memiliki segala kemewahan. Anak-anak ulang-alik masuk hospital, pasangan suami/isteri yang kurang sihat dan sebagainya. YA ALLAH bila dilihat dari segi itu, aku menadah tangan penuh kesyukuran atas nikmat yang diberikan ini... nikmat sihat, nikmat waktu, nikmat 'quality time' dengan keluarga yang banyak, anak-anak yang membesar sihat lagi cerdik... 

"Maka nikmat tuhanmu yang manakah kamu dustakan?"

Ujian (susah dan senang)

Setiap dari kita diberikan ALLAH SWT ujian yang berbeza-beza sesuai dengan kesanggupan masing-masing. Ada diuji dengan kesusahan yang berat dan ada yang diuji dengan kesenangan sehingga terlupa kepada kesenangan yang menipu daya mereka. 

"Dan apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: "Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (Al-Ankabut: 2-3) 

Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: "Kami telah beriman..." Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka.

Rezeki

Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disediakan oleh ALLAH SWT di muka bumi ini.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, maka ALLAH akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNYA rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, nescaya ALLAH mencukupkan keperluannya" (At-Talaq 2-3)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Jika sekiranya kamu bertawakkal kepada ALLAH SWT dengan sebenar-benar tawakkal pasti ALLAH akan memberi rezeki kepadaMU, seperti DIA memberi rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulan kesarangnya pada waktu petang temboloknya sudah penuh"

Orang-orang yang bertawakkal ialah mereka yang yakin dengan jaminan rezeki daripada ALLAH SWT dan mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat nanti.

Kunci rezeki dan perbendaharaan ALLAH SWT hanya berada ditanganNYA dan DIA akan membukan pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada hamba-hambaNYA yang banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa berwudhuk, menghubungkan silaturahim, solat dhuha, solat tahajjud, berzikir dan membaca al-quran. Amalan-amalan soleh ini jika diamalkan akan membina jambatan hati kita dengan ALLAH SWT dan apabila DIA kasih dan sayang kepada kita segala permohonan dan doa kita dimakbulkanNYA dan dikurniakan rezeki di jalan yang tiada disangka-sangka.



 

0 sweet persons:

Post a Comment

Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan serta cik2 :D