11.1.09

21 Ogos 1969: Memperingati Al-Aqsa







Adakah Masjid al-Aqsa pernah terbakar? Barangkali ramai lagi yang akan bertanya soalan yang sama. Di negara kita ini, gerak kerja dan usaha untuk menyedarkan umat Islam di Malaysia berhubung kesucian Masjid al-Aqsa dan kepentingan kota al-Quds masih agak 'perlahan' berbanding negara-negara dunia Islam yang lain. Justeru, siri penghinaan dan penodaan terhadap kesucian al-Aqsa al-Mubarak kurang mendapat perhatian berbanding isu-isu lain yang lebih sensasi.

Cuba kita bayangkan sekiranya berlaku penjajahan di negara kita, lalu Masjid Negara atau Masjid Jamek secara tiba-tiba diserang dan dibakar! Adakah kita akan hanya melihat dan berpeluk tubuh? Tidak! Sudah tentu kita akan mempertahankannya dengan darah dan nyawa kita. Masjid adalah lambang maruah umat Islam, di mana di situlah mereka memperdengarkan laungan azan dan umat akan menyahutnya dengan mendirikan solat berjemaah. Ia sebagai simbol kesatuan dan kekuatan umat Islam. Apabila masjid mereka diceroboh dan dihina, maka maruah mereka juga telah diinjak dan dipijak-pijak. Namun, apakah sama nilainya Masjid Negara, Masjid Jamek K.Lumpur, Masjid Putrajaya, Masjid Shah Alam, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid as-Syakirin KLCC atau mana-mana sahaja masjid di negara ini malah di atas muka bumi ini jika hendak dibandingkan dengan kemuliaan dan kesucian Masjidil-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa?

Kesucian Masjid al-Aqsa sudah jelas melalui surah al-Israk, ayat 1. Ianya juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis yang sahih: "Janganlah mempersiapkan diri untuk bermusafir melainkan ke tiga buah masjid, Masjid al-Haram, Masjid Rasul dan Masjid al-aqsa."

Sekiranya masjid-masjid di negara ini sanggup untuk kita pertahankan kehormatannya, maka sudah tentu ketiga-tiga masjid yang dinyatakan dalam hadis tersebut lebih utama lagi kedudukannya. Kita tidak dapat membayangkan sekiranya Masjidil-Haram ditakluk dan dikotori. Kita juga tidak rela Masjid Nabawi dicerobohi dan dinajisi. Maka atas dasar apakah kita berdiam diri selama lebih 41 tahun penaklukan kota al-Quds pada 7 Jun 1967 yang membawa kepada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan lawatan kontroversi Ariel Sharon memasuki dataran Masjid al-Aqsa pada 28 Sept 2000 dengan 600 tentera siap bersenjata dan lebih 3000 orang Yahudi untuk mengelilingi tempat suci itu. Kejadian tersebut meningkatkan kemarahan umum sehingga berlaku Intifadhah (kebangkitan) rakyat Palestin yang sehingga ke hari ini api perjuangan dan penentangan mereka masih belum dapat dipadamkan. Rakyat Palestin sudah cukup terseksa dengan pembunuhan dan kekejaman zionis saban hari. Kematian sudah menjadi perkara biasa di bumi jihad itu. Akan tetapi, mengapakah Intifadhah meledak pada saat itu? Jawapannya kerana kesucian Masjid al-Aqsa telah dinodai oleh tapak kaki Sharon yang mana merupakan Pemimpin Parti Likud yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Israel, malah dia juga adalah watak utama dalam peristiwa berdarah Sabra dan Shatila (1982).

Begitulah kemuliaan dan keberkatan Masjid al-Aqsa, rakyat Palestin tidak boleh bertolak ansur lagi. Maka pada bulan ini, kita memperingati peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa dan hendaklah kita menanamkan rasa cinta dan semangat untuk membebaskan Masjid suci kiblat pertama umat ini.

Tanggal 21 Ogos 1969 adalah salah satu tarikh hitam bagi umat Islam. Kerana pada tarikh ini kira-kira 39 tahun yang lalu, maruah umat ini telah tercalar dengan satu penghinaan. Seorang pelampau Yahudi bernama Micheal Denise Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid al-Aqsa untuk membakar hangus lalu meruntuhkannya. Kejadian itu dianggap sebagai jenayah musuh yang paling menyakitkan bagi umat Islam. Keperitannya masih dirasakan sehingga ke hari ini. Rohan tidak bersendirian dalam jenayahnya itu. Dia mendapat sokongan dan koordinasi dari Rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid al-Aqsa dihapuskan bagi memudahkan mereka membina Haikal Sulaiman di atas dataran suci itu.

Dalam peristiwa tersebut, sebahagian besar masjid yang berkah itu mengalami kemusnahan termasuklah peralatan dalaman, dindingnya, Mimbar Salahuddin al-Ayyubi, Mihrab Zakaria, Masjid Umar bin al-Khattab, dan sebahagian serambi. Kemusnahan tersebut melebihi satu pertiga kawasan bangunan masjid iaitu kira-kira 1500 meter persegi daripada keluasan asal 4400 meter persegi. Malah bahagian atap masjid juga roboh menyembah bumi dan begitu juga dua tiang utama serta lengkungan yang menanggung kubah masjid. Tingkap-tingkap yang indah berwarna-warni serta hiasan ayat-ayat al-Quran turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Micheal Rohan ketika ditangkap telah berkata secara berterus-terang bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kewajipan agama sebagaimana yang disebut dalam kitab Torah di sisi mereka. Dia juga mengaku telah berjaya dalam misinya yang menurutnya adalah merupakan perintah dari tuhan.

Demikianlah, sekiranya ektremis Yahudi ini meyakini kerja-kerja jenayah itu adalah perintah tuhannya, maka adakah umat Islam tidak menganggap tanggungjawab mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa adalah satu tuntutan agama dan tanda seseorang hamba itu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat?

0 sweet persons:

Post a Comment

Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan serta cik2 :D